Karangan BAHAGIAN B (100 markah)
*Panjangnya LEBIH daripada 350 patah perkataan.
SOALAN – Penglibatan dalam aktiviti sukan memberikan banyak faedah kepada masyarakat. Huraikan faedah-faedah tersebut.
PENDAHULUAN
Sukan bukanlah semata-mata aktiviti fizikal yang dilakukan untuk mengisi masa lapang atau sebagai riadah kecil mengeluarkan peluh. Mutakhir ini, pemodenan sukan bergerak seiring dengan kemajuan dunia dan membawa falsafah yang lebih berat. Pertumbuhan pelbagai bidang sukan yang rancak ini digerakkan dengan lebih dinamik dan profesional. Penglibatan masyarakat dalam bidang sukan juga telah banyak membawa manfaat. Persoalannya, apakah faedah-faedah bersukan kepada masyarakat?
ISI 1 – Membantu mengekalkan kesihatan fizikal dan mental
Salah satu daripada faedah bersukan ialah kegiatan sukan dapat membantu mengekalkan kesihatan fizikal dan mental. Kehidupan zaman moden ini lebih banyak menggunakan tenaga dalaman dan pemikiran. Golongan profesional dan separa profesional yang terlibat dalam membangunkan negara kebanyakannya terpaksa mengabaikan kegiatan fizikal kerana kekurangan waktu untuk tujuan tersebut. Selain itu, kegiatan sukan merupakan langkah awal seperti kata pepatah “sediakan payung sebelum hujan” dalam mengawal obesiti, penyakit kronik seperti darah tinggi, diabetes dan penyakit jantung. Penglibatan masyarakat dalam bidang sukan juga dapat menangani ketegangan fikiran dan meringankan bebanan mental. Sesungguhnya kegiatan sukan dapat melancarkan perjalanan darah, mengurangkan lemak yang berlebihan dalam salur darah dan jantung, membantu perkumuhan dan membuang sisa-sisa yang tidak diperlukan oleh badan. Tegasnya, penglibatan dalam bidang sukan merupakan usaha efektif dalam melahirkan masyarakat yang sihat.
ISI 2 – Mengisi masa lapang
Selain itu, bersukan juga dapat mengisi masa lapang seseorang. Masa itu emas, walaupun hanya ada beberapa minit, masa itu sangat berharga . Oleh itu, masa lapang ini sangat bermanfaat jika digunakan untuk bersukan bagi mengembalikan tenaga dan melegakan ketegangan. Bagi golongan remaja, penglibatan dalam bidang sukan dapat menghindarkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang tidak bermoral seperti vandalisme dan membuang masa dengan melepak, merokok dan terlibat dalam pengambilan dadah. Sukan dapat menarik masyarakat ke arah memanfaatkan masa lapang dengan cara yang lebih baik. Kesan yang jelas ialah sukan mampu meningkatkan swadaya masyarakat dan melangkah gagah dengan yakin ke peringkat antarabangsa walaupun melalui ranjau pidana dunia persaingan hari ini. Sesungguhnya sukan dapat mendisiplinkan masyarakat memanfaatkan masa dengan lebih bermakna.
ISI 3 – Mengeratkan hubungan perpaduan dan integrasi masyarakat
Di samping itu, sukan merupakan salah satu instrumen penting untuk mengeratkan hubungan perpaduan dan integrasi masyarakat. Hal ini demikian kerana kegiatan sukan dapat melahirkan semangat kekitaan dalam pasukan untuk meraih kemenangan. Sifat bersatu padu yang dipupuk melalui penglibatan dalam kegiatan sukan bertunjangkan satu peribahasa, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Lantaran itu, hubungan yang erat dapat melahirkan sebuah pasukan yang kuat. Para penyokong juga dapat menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di samping berkongsi minat dalam sukan yang sama. Dengan ini, nilai-nilai perpaduan seperti bekerjasama, bertoleransi dan meletakkan kepentingan negara dan pasukan melebihi kepentingan diri dapat dilahirkan melalui penglibatan diri dalam bidang sukan. Justeru , kegiatan sukan dapat mendidik masyarakat bekerjasama dan bersatu padu serta mengeratkan hubungan.
ISI 4 – Menambah pendapatan secara individu dan kumpulan
Akhir sekali, sukan juga mampu memberi ruang untuk menambah pendapatan secara individu dan kumpulan. Atlet yang mencapai tahap kemahiran profesional boleh menjadikan sukan sebagai kerjaya yang lumayan. Penganjuran dan pengusaha peralatan dan prasarana sukan juga mampu menjana pendapatan yang besar. Serentak dengan kegiatan sukan secara serius di peringkat glokal dan global mampu menjana keuntungan melalui kadar tukaran wang asing. Seiring dengan itu, industri hiliran muncul bersama perkembangan sukan yang diceburi. Kemajuan sukan menampakkan hala tuju anak muda yang berkebolehan mengembangkan bakat dan potensi menjadikan sukan sebagai kerjaya masa depan mereka. Atlet-atlet profesional iaitu pemain badminton seperti Datuk Lee Chong Wei dan Shalin Zulkifli masing-masing menjadikan sukan badminton dan boling sebagai kerjaya. Jelaslah sukan juga dapat menjadi kerjaya yang baru kepada masyarakat.
PENUTUP
Kesimpulannya, penglibatan dalam bidang sukan akan membawa pelbagai faedah kepada masyarakat. Sukan diharapkan dapat melahirkan masyarakat yang sihat, bersatu padu, berdaya maju dan berdaya saing. Sukan juga mampu mengangkat martabat rakyat dan negara di persada antarabangsa agar mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain. Tegasnya, semua lapisan masyarakat wajar melibatkan diri dalam kegiatan sukan.