Perenggan penutup yang baik perlulah dilengkapi dengan TIGA ayat wajib, iaitu:
1. Ayat kesimpulan isi-isi
2. Ayat cadangan
3. Ayat harapan
Sebelum itu, perenggan penutup perlulah dimulakan dengan penanda wacana atau ungkapan yang sesuai, seperti frasa-frasa di bawah:
AYAT KESIMPULAN ISI-ISI
(penanda wacana penutup + kata kunci (punca / kesan / langkah) + sasaran + tema)
Bulan semakin terang, bayang kian jelas bahawa beberapa langkah dapat diimplementasikan oleh ibu bapa untuk mewujudkan keluarga yang bahagia.
AYAT CADANGAN
Kata cadangan = perlulah / hendaklah / haruslah / seyogianya
Namun begitu, obligasi untuk menangani masalah jenayah di negara kita tidak seyogianya diletakkan atas pundak kerajaan sahaja. Oleh itu, semua pihak tanpa mengenal batasan usia dan warna kulit perlulah bersinergi ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni untuk menangani masalah ini hingga akar umbi. / Kita haruslah berganding bahu dan menggembleng tenaga serta mempunyai semangat tinggi setinggi Gunung Everest, seluas Banjaran Himalaya, sedalam Jurang Mariana dalam membendung isu ini daripada membarah sebelum terlewat kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.
*Ayat yang ditandai warna hijau merupakan ungkapan atau peribahasa yang boleh digunakan dalam penulisan karangan.
Ayat Harapan
1. Komitmen padu daripada semua pihak diharapkan impian untuk mencapai visi kudsi negara iaitu Wawasan 2020 tidak akan menjadi omongan kosong dan angan-angan Mat Jenin.
2. Diharapkan impian negara untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang akan menjadi realiti dan nama negara akan sentiasa gah di pentas dunia.
3. Jika perpaduan dapat dipupuk maka impian negara untuk mencapai Gagasan Satu Malaysia akan menjadi kenyataan dan sekali gus Wawasan 2020 dapat dicapai dengan mudah untuk memastikan Malaysia dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara gergasi di persada antarabangsa.
4. Hubungan ukhuwah antara semua pihak dapat merealisasikan impian untuk mencapai tahap negara kelas pertama seperti kata falsafah Confusius, apakah gunanya sekiranya kita tidur sebantal tetapi mimpi kita lain-lain, lebih baik kita tidur bantal yang berlainan, tetapi mimpi kita tetap sama.
5. Wahai anak watan Malaysia, sahutlah cabaran dan hadapilah dengan semangat habis kapak berganti beliung (semangat rajin bekerja) / biar putih tulang, jangan putih mata (semangat berjuang bersungguh-sungguh) untuk menunaikan impian nusa tercinta ini ke arah cemerlang, gemilang dan terbilang! Malaysia Boleh!
*Frasa yang ditandai warna kuning ialah frasa yang membawa maksud keinginan untuk merealisasikan sesuatu harapan.
*Ayat yang ditandai warna hijau pula merupakan ungkapan atau peribahasa yang boleh digunakan dalam penulisan karangan.